10 August 2011

Pertandingan Saya Rasa Saya Kebal

Setakat 9 Ramadhan, pihak penganjur telah menerima tiga penyertaan bagi pertandingan Saya Rasa Saya Kebal untuk tahun ini. Peserta pertama ialah seorang remaja yang mewakili Kelantan dengan aktiviti beliau melawan mercun bola. Hasilnya, remaja tersebut putus tiga hari hasil kecekapan mercun meletup dahulu sebelum dibaling. Berita lanjut, klik sini.

Peserta seterusnya juga berasal dari Kelantan dengan penyertaaan yang agak kreatif iaitu melawan mercun buatan sendiri. Adik Mohd Hazirul Hanif, ketika ditemubual oleh wakil penganjur memberitahu bahawa mercun buatan sendiri beliau yang menggunakan mercun bola dan lampu kalimantang itu meletup semasa dalam proses pembikinan. Beliau hanya cedera ringan dan tidak mustahil untuk meneruskan penyertaaan di musim hadapan kerana mempunyai bakat dan potensi yang boleh diperbaiki.

Peserta terakhir ialah adik Fakhrul Danish yang berasal dari Kedah. Beliau dikatakan mempunyai kuasa ajaib kerana hanya dengan renungan sahaja boleh membuatkan mercun meletup. Agak malang kerana beliau merenung mercun dalam jarak yang terlalu dekat hingga menyebabkan kecederaan pada muka.

Pihak penganjur mengjangkakan akan menerima beberapa lagi penyertaan sebelum akhir Ramadhan. Ini berikutan peserta dari Terengganu masih lagi belum menghantar wakil mereka.

Nampaknya, selain dari menjuarai Liga Super, Kelantan juga hebat dalam melahirkan juara kebal.

Pihak penganjur ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa format pertandingan akan diubah untuk musim hadapan bagi menarik lebih ramai penyertaan. Nama pertandingan juga akan ditukar kepada "Saya Memang Bebal".

-PP-

1 comment:

Sogambut Boys Projk said...

agaknye berape ramai org join pertandingan ni tahun ni?