07 July 2006

Tips Kebahagian Rumahtangga

Sebagai seorang kaunselor yang tidak bertauliah (tak ada phd), Pipi ingin mengajak semua untuk berkongsi tentang panduan memilih pasangan hidup. Tip tip yang dinyatakan di bawah adalah penting bagi memastikan anda mendapat kebahagian rumahtangga dan tidak putus tunang atau pun bercerai selepas hanya setahun mendirikan rumahtangga.

Pertama, kaji tempoh masa berkenalan di antara anda dan pasangan anda. Jangan terlalu gatal untuk berkahwin setelah berkenalan hanya selama enam bulan melainkan anda telah terlanjur dan bakal mendapat anak luar nikah. Kebanyakan mereka yang berkahwin setelah berkenalan dalam tempoh yang singkat membuat keputusan untuk berkahwin berdasarkan angan angan semata dan bukannya fakta. Walau bagaimanapun, anda tidak digalakkan untuk mengambil masa terlalu lama untuk mengenal pasangan anda kerana anda semestinya tidak mahu mendirikan rumahtangga apabila usia anda mencecah 40an. Pengecualian diberikan kepada duda/janda atau pun businessman berjaya yang mempunyai pangkat Datuk.

Kedua, sila pilih pasangan sendiri yang sesuai dengan anda. Walaupun sudah jarang berlaku, tetapi masih ada segelintir insan bodoh yang berkahwin atas pilihan keluarga atau pun semata mata ingin menggembirakan hati keluarga. Anda boleh mendengar pandangan atau pendapat keluarga anda tetapi jangan sampai mereka memilih pasangan untuk anda. Perkahwinan atas dasar pilihan keluarga hanya sesuai dipraktikan di zaman Hang Tuah. Pengecualian diberikan sekiranya anda seorang anak dara tua atau anak teruna tua yang tidak berapa pandai mengorat.

Seterusnya, jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap pasangan masing masing. Manusia tidak sempurna, anda tidak boleh mengharapkan bahawa pasangan anda adalah seorang yang perfect dan boleh memberikan kebahagian dalam tempoh sekelip mata. Proses ini sangat memakan masa dan memerlukan kesabaran. Kurangnya kesabaran boleh rumahtangga anda porak peranda.

Keempat, sila tanya diri anda, adakah anda bersedia untuk menghadapi masalah sifat dan tingkah laku pasangan anda setelah berkahwin nanti? Masalah tingkah laku ini termasuklah cemburu buta, panas baran, kaki botol, kaki dadah dan sebagainya. Jangan terlalu risau sekiranya pasangan anda ialah seorang kaki bangku kerana dia tidak akan membuang masa bermain futsal bersama rakan rakan dan akan menghabiskan masa untuk menatap muka anda sahaja. Sanggupkan anda dilempang atau diterajang oleh pasangan anda yang kaki botol? Sangggupkan anda menghadapi risiko ditikam oleh pasangan anda yang mempunyai masalah penagihan dadah? Sekiranya jawapan anda ialah YA, maka anda adalah seorang yang sangat bodoh dan rumahtangga anda pasti berkecai sepaaruh jalan.

Kelima dan terakhir, pilihlah pasangan yang mempunyai kebolehan berkomunikasi yang tinggi. Antara kebolehan berkomunikasi oleh orang perempuan ialah termasuk menjerit kepada suami, menghentak hentak kaki atau sekurang kurangnya membuat muka apabila berhadapan dengan masalah rumahtangga. Sekiranya anda seorang lelaki yang mempunyai isteri sedemikian, anda patut rasa bersyukur kerana isteri anda masih boleh berkomunikasi dengan anda. Sila ambil perhatian bahawa cara cara berkomunikasi seperti menyepak, melempang dan membaling pinggan mangkuk adalah salah.

Semoga dengan tip tip di atas dapat membantu anda memilih pasangan yang sesuai dan mendapat kebahagian rumahtangga. For those yang sudah berkahwin dan mendapati bahawa anda sudah tersilap langkah, cepat cepat cari jalan penyelesaian. Kalau tak boleh jugak, cepat cepat cerai dan cari pasangan baru. Anda tidak perlu risau tentang orang akan menghebohkan penceraian anda melainkan anda ialah seorang celebriti.

-PP-

No comments: