06 June 2006

Panduan Menghadapi Temuduga Kerja - Part 2

Pipi akan menyambung topik tentang tips tips temuduga untuk bahagian kedua. Tips tips berikut adalah berkenaan dengan semasa proses temuduga dijalankan.

Sebelum anda memasuki bilik temuduga, sila periksa keadaan anda buat kali terakhir. Sila pastikan bahawa zip seluar tidak terbuka, baju tidak terkeluar, buah dada (bagi wanita) berada di dalam kedudukan selesa dan sebagainya. Apabila dipanggil masuk, sila “greet” panel penemuduga anda dengan ucapan ucapan yang sesuai seperti selamat pagi, petang atau memberi salam sekirannya anda dan panel penemuduga beragama islam. “Greeting” seperti “What’s up?” adalah tidak dibenarkan.

Sila duduk dengan tertib apabila diminta duduk oleh panel penemuduga dan sila pastikan anda berada di dalam keadaan selesa. Posisi posisi duduk berikut adalah tidak digalakkan:
1. Duduk seperti membuang air di atas mangkuk tandas.
2. Duduk seperti pengantin yang bersanding.
3. Mencangkung di atas kerusi (selalu dipraktikkan oleh orang yang bodoh di dalam tandas awam yang mempunyai tandas jenis duduk).

Elakkan dari menyilang kaki kerana perbuatan tersebut hanya dibenarkan untuk panel penemuduga sahaja. Bagi wanita, elakkan daripada duduk terlalu tegak kerana panel penemuduga akan hilang tumpuan kerana terpaksa berhadapan dengan buah dada anda.

Apabila menjawab soalan yang diajukan, sila jawab dengan terang dan jelas. Ingat, anda sedang menghadiri temuduga dan bukannya bersenda bersama pasangan di dalam kelambu. Sila elakkan dari memberi jawapan yang berputar putar melainkan anda memohon jawatan sebagai peguam. Berlaku jujur tentang diri anda. Sekiranya anda bodoh, jangan malu untuk mengakui hakikat tersebut. Anda mungkin berpeluang untuk mendapat jawatan lain yang bersesuaian dengan tahap kebodohan anda sekiranya anda gagal mendapatkan jawatan yang anda mohon.

Selain itu, sila gunakan bahasa yang sesuai. Kebanyakan syarikat swasta akan mengadakan sesi temuduga di dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya panel penemuduga menggunakan Bahasa Melayu, jangan sekali kali menjawab di dalam Bahasa Inggeris. Hormatilah panel penemuduga tersebut, beliau mungkin merupakan seorang pencinta Bahasa Kebangsaan atau pun mempunyai kelemahan menguasai Bahasa Inggeris. Adalah lebih baik untuk anda menjawab di dalam Bahasa Melayu daripada menggunakan ayat berikut “ Well, you know la, last time aaaaa, in my old company aaaa, I also do same work one. I do everything until my mind got burst and mentally very tired la” Ini hanya akan menunjukkan tahap IQ sebenar anda. Lagi satu, jangan memburuk burukkan syarikat lama anda kerana itu adalah satu perbuatan yang menunjukkan anda seorang yang tidak tahu berterima kasih.

Kebanyakan calon temuduga akan terperangkap dengan soalan yang berbunyi “Sila terangkan atau beritahu serba sedikit tentang diri anda”. Sekiranya anda ditanya soalan sedemikian, sila jangan merapu dan menceritakan sejarah hidup, berapa umur anda, di mana anda tinggal, berapa adik beradik, berapa kali putus cinta dan sebagainya. Panel penemuduga lebih berminat untuk mengetahui tentang keupayaan diri anda dan bukannya perihal peribadi anda. Sesi temuduga bukanlah sesi majlis suai kenal di sekolah berasrama penuh.

Sekiranya anda diberi peluang untuk bertanyakan soalan, sila tanya soalan soalan yang berkenaan sahaja. Elakkan bertanya tentang gaji pada peringkat ini kerana anda akan dituduh sebagai mata duitan. Sebaik baiknya tanyalah soalan tentang hala tuju syarikat tersebut, apakah rancangan masa depan dan apakah yang mereka harapkan dari calon yang berjaya mengisis kekosongan jawatan tersebut.

Setelah proses temuduga tersebut selesai, jangan lupa untuk keluar dari bilik tersebut kerana ada ramai lagi calon yang menunggu di luar. Jangan membuang masa panel penemuduga dengan mengada ngada di dalam bilik temuduga kerana mereka ada banyak lagi kerja lain yang perlu diselesaikan.

Pipi berharap agar tips tips yang Pipi berikan dapat membantu serba sedikit di dalam menghadapi proses temuduga. Selamat berjaya diucapkan kepada semua.

-PP-

No comments: