02 June 2006

Tindakan Susulan Tanah Runtuh

Berikutan dari kejadian tanah runtuh di Hulu Kelang beberapa hari lepas, pihak pihak yang terlibat seperti pemaju, pihak berkuasa tempatan, Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Kerja Raya serta penduduk setempat telah merumuskan dan bersetuju untuk melaksanakan pelan pelan tindakan seperti berikut.

Tindakan Menunding Jari.
Ini merupakan tindakan yang paling diutamakan di dalam perbincangan pihak yang terbabit. Pihak pihak terbabit telah bersetuju untuk saling tuduh menuduh di antara satu sama lain tentang punca kejadian. Penduduk setempat telah menyalahkan Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana tidak memantau projek pembangangunan yang dijalankan. Bagaimanapun MPAJ memberi alasan selamba bahawa mereka tidak tahu tentang kewujudan kawasan rumah panjang itu kerana tersorok (sumber dari Utusan Malaysia). Sementara itu, Kerajaan Negeri telah menyalahkan pemaju kerana tidak meletakkan tembok halangan terlebih awal. Pihak pemaju mungkin terpaksa menyalahkan takdir di atas kejadian tersebut. Pada peringkat ini, campurtangan pihak JKR tidak dialu alukan. Menteri berkenaan hanya perlu mengeluarkan kenyataan yang berbunyi “ Saya suda arahkan jurutera membuat pemeriksaan.”

Tindakan Menyiasat Punca Kejadian.
Siasatan punca kejadian amat penting untuk dilakukan demi mencari siapakah yang patut dipersalahkan selepas isu tunding menunding jari selesai walaupun hasil siasatan jarang diguna pakai untuk mengelakkan kejadian dari berulang di masa hadapan. Proses ini juga penting untuk memberi ruang kepada pihak konsultan yang bakal dilantik untuk menambahkan pendapatan syarikat mereka. Buat masa ini, beberapa syarikat perundingan kejuruteraan telah menunjukkan minat untuk membuat siasatan tentang punca kejadian.

Tindakan Saman Menyaman.
Tindakan susulan yang akan dilakukan oleh penduduk penduduk yang terlibat samada secara langsung atau tidak. Oleh kerana kebanyakan penduduk yang terlibat secara langsung adalah terdiri dari rakyat Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap dan tidak begitu pandai, maka tugas menyaman telah diserahkan kepada golongan professional rakyat Malaysia yang tinggal berhampiran. Antara alasan yang diberikan untuk menyaman ialah kelewatan tindakan dari pihak berkuasa walaupun telah banyak kali aduan dibuat. Tindakan menyaman setelah berlaku kejadian tanah runtuh itu akan menimbulkan kesan yang lebih dramatik jika dibandingkan dengan tindakan menyaman sebelum kejadian. Secara tidak langsung, idea untuk menyaman pihak berkuasa akan diketengahkan oleh pihak akhbar kerana isu masih lagi panas.

Tindakan Jangka Pendek.
Sebagai pihak berwajib, JKR akan segera melancarkan proses mengenal pasti kawasan kawasan berbukit yang berbahaya untuk dibangunkan. Jurutera JKR akan diarahkan untuk membuat siasatan di seluruh negara bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa berulang. Proses ini biasanya akan memakan masa yang sangat lama walaupun ianya dinamakan rancangan jangka pendek. Kertas siasatan akan dipanjangkan kepada cabinet untuk tindakan susulan. Tindakan jangka pendek ini adalah tindakan standard setiap kali berlakunya kejadian tanah runtuh. Oleh kerana tugas JKR hanyalah mengenal pasti dan bukannya menghalang, maka pihak pemaju masih boleh meneruskan projek pembangunan di kawasan yang dikategorikan sebagai berbahaya itu. Disebabkan rancangan jangka pendek ini memakan masa yang sangat panjang, kemungkinan terdapat lagi kejadian tanah runtuh semasa proses mengenal pasti ini dijalankan.

Tindakan Jangka Panjang.
Tidak ada tindakan jangka panjang yang dirancang. Pihak terbabit setuju untuk menyerahkan keadaan kepada takdir. Tindakan tindakan di atas akan diulang setiap kali berlakunya kejadian tanah runtuh di masa hadapan.

-PP-

No comments: