07 April 2006

Pulp Fiction - The Kepala Ikan Tongkol


Kisah berikut telah diolah dengan sesuka hati oleh Pipi untuk memberikan kesan kesan yang lebih dramatik.

Makcik Nasi Dagang.
Lega sungguh makcik rasa bila kes makcik dah selesai. Bisnes makcik pun sudah bertambah maju dan popular, terima kasih makcik ucapkan kepada anak anak makcik yang tidak putus putus memberi sokongan dan juga kepada media yang mensensasikan cerita makcik. Sungguh makcik tak sangka perbuatan makcik menjual kepala ikan tongkol dengan harga RM45 membuatkan kehidupan makcik tidak tenteram sejak kebelakangan ini. Makcik rasa sungguh tertekan dengan keadaan tersebut. Kedai makcik diserbu oleh pegawai kerajaan, makcik pun tak ingat nama kementerian tu, panjang sangat. Makcik dituduh sengaja menutup kedai sedangkan pada hari tersebut makcik ada urusan tentang harta pusaka. Makcik juga tidak sangka ada insan yang sudi membantu untuk menyelesaikan denda RM1,000 yang dikenakan kepada makcik, terima kasih makcik ucapkan tapi makcik rasa lebih baik makcik selesaikan sendiri. Makcik tidak mahu terhutang budi kepada sesiapa, lagi pun gelang makcik kat tangan ni masih banyak lagi.

Abang Kepala Ikan Tongkol.
Demi isteri tercinta sanggup kubayar kepala ikan tongkol walaupun harganya agak melampau. Tak apa, this is your day makcik nasi dagang. Sekarang, makcik baru tahu langit tu tinggi ke rendah. Sudah kuhebohkan kepada surat khabar tentang harga kepala ikan tongkol yang kubeli pada hari tersebut. Mungkin ada yang menyangka aku sengaja menganiayai makcik nasi dagang kerana aku tidak komplen semasa membayar harga kepala ikan tongkol itu sebaliknya menghebohkan kepada pihak media. Bukan aku sengaja, sebaliknya aku ingin menjadikan ini sebagai contoh agar peniaga tidak sesuka hati mengenakan harga yang melampau kepada pengguna. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah pun mengambil tindakan terhadap makcik nasi dagang walaupun dendanya hanya RM1,000. Ini seharusnya dijadikan pengajaran terhadap peniaga peniaga lain.

Anak Anak Makcik Nasi Dagang.
Sampai hati abang ikan tongkol melakukan sedemikian terhadap emak kita. Bukannya dia tak kenal kita, malahan dia orang sini jugak. Ingat duduk kat Putrajaya tu, boleh buat sesuka hati ke? Kita adik beradik mesti bersatu padu untuk mempertahankan emak tersayang. Kita mesti menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadap emak sambil mencari populariti untuk diri kita sendiri dengan masuk suratkhabar tiap tiap hari. Bukan kita nak lari dari pegawai kerajaan, tapi memang masa hari serbuan, kita pegi bahagikan harta pusaka. Semasa hari serbuan kedua, kita bukak kedai macam biasa. Dia orang rampas kuah nasi dagang kita tak halang. Tak tau la dia orang nak buat apa dengan kuah tu. Nak hantar makmal pegi test ke, jual balik kat pasar ke or makan sendiri. Kepada aktivis masyarakat yang offer nak bayar denda tu, kami ucapkan terima kasih banyak banyak kerana menunjukkan keperihatinan anda.

Pegawai KPDN & HEP.
Laporan Hari Pertama
Serbuan telah dibuat di kedai nasi dagang tetapi didapati kedai tersebut telah ditutup. Tugas tugas tidak dapat diselesaikan seperti mana yang diarahkan.
Laporan Hari Kedua
Serbuan telah berjaya dilakukan. Rampasan telah dibuat terhadap kuah nasi dagang sebagai barang bukti dan telah diserahkan kepada jabatan kimia untuk dianalisa.
Tindakan.
Makcik nasi dagang telah dikompaun sebanyak RM1,000.00

Aktivis Masyarakat.
Hati saya sungguh tersentuh tersentuh apabila membaca tentang seorang peniaga yang telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas tindakan beliau mejual kepala ikan tongkol sebanyak RM45. Sebagai seorang aktivits masyarakat, saya mesti mengambil kesempatan ini untuk mempopularkan diri saya dan menunjukkan sumbangan saya terhadap masyarakat. Tujuan saya menawarkan diri untuk membayar denda tersebut adalah ikhlas tanpa niat untuk menunjuk nunjuk. Saya tidak tahu bagaimana hendak menghubungi makcik nasi dagang, oleh itu cara terbaik ialah melalui akhbar supaya semua orang tahu niat ikhlas saya. Walaupun makcik nasi dagang menolak tawaran saya, saya akan terus berusaha untuk membantu anggota masyarakat yang lain. (P/s: selamat duit saya RM1,000)

Orang suratkhabar 1.
Hehehehe, bagus jugak ada kes ikan tongkol ni. At least ada la kerja aku nak buat. Untung untung dapat pegi makan nasi dagang free.

Orang suratkhabar 2.
Bosan! Tiap tiap hari suruh aku cover cerita pasal kepala ikan tongkol. Naik muak dah. Suruh la cover pasal cerita artis bercerai ke, artis berpisah dan takde masa nak tengok hal rumahtangga pasal terlalu sibuk ke. Gossip artis sms popular yang dah bertunang tapi kawan dengan orang lain yang nama pun sama dengan tunang dia ke. Apala boss aku ni. Bosan! Bosan!

4 comments:

Anonymous said...

isu kepala ikan tongkol ni panas betulkan?kalau kepala ikan salmon ke bolehla nak caj lebih2 ni setakat ikan tongkol tak brape sen!Pipi mmg peminat makcik tongkolkan?lately ni Pipi asik mengutarakan isu kepala tongkol waima di blog2 org lain..apa2hal pun makcik tongkol tu punya gelang mmg bertongkol2!

Anonymous said...

apsal aa ko geram sgt kat makcik nasi dagang tu..aku beser lepak breakfast kat situ klu balik time holiday..yg peliknya aku biasa2 mkn lbih kurang rm3 je sepinggan,tatau aa camne lak leh timbul isu ni.dh nyanyuk kot..anyway bagi aku makcik tu mmg baik n peramah,n aku mmg akui die nyer gelang tuh bertongkol2..hehe

LUKE said...

ayooo rindu nasik dagang la! huhuhuhu....

Pipi said...

pipi tidak ada perasaan geram kepada sesiapa pun. Pipi cuma seorang tukang cerita yang suka mengolah cerita sesuka hati. Btw, kenapa korang nampak pasal makcik nasi dagang je? Anak anak makcik nasi dagang, abg ikan tongkol dan juga aktivis masyarakat juga memainkan peranan penting dalam pulp fiction ikan tongkol. Tidak lupa juga pihak media yg tidak jemu jemu menghebahkan cerita kepala ikan tongkol ini.