17 May 2006

Kenyataan Akhbar

Berikut adalah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen yang baru baru ini dikatakan meminta seorang pegawai kerajaan menutup sebelah mata dan seterusnya menimbulkan kekecohan yang teramat sangat. Kenyataan ini Pipi jumpa kat dalam tong sampah belakang pejabat akhbar terkemuka di Malaysia. I guess the editor malas nak layan kenyataan ini dan terus membuang ke dalam tong sampah. Disebabkan Pipi kesian kat MP tu, so Pipi siarkan je la kat blog Pipi ini.

"Saya dengan ini mengaku bahawa saya merupakan Ahli Parlimen yang telah meminta seorang pegawai kerajaan menutup sebelah mata berikutan kesalahan yang telah dilakukan oleh syarikat saya. Bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang apa yang sebenarnya telah berlaku pada hari kejadian.

Syarikat yang bernama Saya Punya Enteprise itu sebenarnya telah lama ditubuhkan, iaitu sebelum saya menjadi MP lagi. Oleh kerana saya hanya menjalankan perniagaan secara kecil kecilan, saya hanya menggunakan alamat rumah saya sebagai alamat pejabat. Walaupun pendaftaran menunjukkan bahawa syarikat saya melakukan bermacam jenis perkerjaan, tapi pada hakikatnya saya hanya menumpukan kepada satu perniagaan teras sahaja iaitu mengimport kayu bergergaji. Perlu ditekankan bahawa syarikat saya hanya bertindak sebagai ejen sahaja dan tidak terlibat secara langsung dengan pembekal.

Pada hari kejadian, saya memang ada menemui pegawai terbabit yang telah bertindak merampas kayu kayu yang diimport oleh syarikat saya. Tujuan saya meminta beliau menutup sebelah mata adalah untuk memberi peluang kepada beliau merasai kesusahan sekiranya hanya mempunyai sebelah mata. Dengan yang demikian, beliau akan lebih merasa prihatin terhadap insan kurang upaya. Selain itu, ianya juga dapat memberi kesedaran kepada beliau agar beliau berasa bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang insan yang sempurna.

Saya tidak berniat langsung untuk meminta pegawai terbabit “melepaskan” syarikat saya dari sebarang hukuman dan menjatuhkan intergriti pihak berkuasa. Walau bagaimapun saya akui bahawa mungkin akan terdapat kesilapan kesilapan seperti tersilap baca atau terlepas pandang akibat dari perbuatan menutup sebelah mata itu. Niat suci saya telah disalah ertikan dan membawa kepada satu permasalahan yang lain terhadap diri saya.

Saya tidak mempunyai masalah sekiranya Badan Pencegah Kautim (BPK) ingin menyiasat saya. Ini adalah kerana, pada pemahaman saya, Ahli Parlimen tidak dilarang untuk menjalankan aktiviti perniagaan kecuali perniagaan yang menyalahi undang undang seperti menjual dadah, aktiviti pelacuran dan VCD haram. Saya juga tidak meminta pegawai tersebut mengkautimkan kesalahan yang begitu jelas di hadapan mata walaupun hanya sebelah mata yang terbuka.

Saya juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak pihak terbabit dalam penyiasatan dalaman yang akan dilakukan oleh parti politik yang dianggotai oleh saya. Pada hemat saya, setiap manusia perlu diberi peluang untuk menerangkan tentang keadaan sebenar yang telah berlaku. Perbuatan meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan sesuatu perkara adalah sangat tidak cool dan merosakkan perpaduan.

Besarlah harapan saya agar perkara ini tidak lagi disensasikan dengan sewenang wenangnya dan menjatuhkan kredibiliti saya. Saya tidak mempunyai perasaan dendam terhadap sesiapa termasuk juga lelaki lelaki lembut yang dilahirkan oleh Akademi Seni Kebangsaan. Mereka lebih pandai menari dari saya. Saya pasti bahawa saya akan kelihatan seperti kayu jika disuruh menari.

Sekian. Terima Kasih."

-PP-

No comments: